Tak apa. Hari ini kita bersilap-silap paham. Esok-esok kita berkawan-kawan.
Sebagai sebahagian tim komiti pengajuran Merdeka Grand Dinner tempoh hari, aku rasa terhibur dengan reaksi yang berbagai-bagai. Mulanya tak mahu aku ulas apa-apa tentang dinner itu. Rasanya, sementara yang ini mengutuk dan yang sana mempertahankan diri mungkin elok jika aku ajak kawan-kawan komiti yang lain pergi makan-makan dekat mana-mana dan perhatikan saja segalanya dari jauh. Kerna memang, kawan-kawan yang rapat sangat maklum tentang perangai aku yang satu ini, aku mudah melupakan segala macam kebengongan dan cepat-cepat mentertawakan diri sendiri.
Jadi, bila aku menulis ini tak bermakna aku nak mempertahankan diri atau mengganyang sesiapa. Tulisan ini datang dalam bentuk sifar-benci dan bebas daripada kutukan sifar-empati. Cuma, ini adalah satu bentuk tulisan yang rasanya sangat molek kalau dibaca santai-santai tanpa rasa-rasa yang penuh kebengongan kerna tulisan ini seolah-olah separuh mewakili aku sebagai seorang orang yang punya prinsip sendiri yang punya pegangan sendiri yang punya pandangan tersendiri dan separuh lagi mewakili aku sebagai sebahagian tim komiti penganjur. Kalau rasanya kau adalah daripada golongan bertelinga nipis, atau lapisan dermis kau tersangat ekstra sensitif dan tidak mampu menahan gangguan hatta sekecil drosofila melanogaster, aku nasihatkan kau berhenti baca tulisan ini dan teruskan rutin harian hidup kamu i.e. tengok friendster dan main DOTA, misalnya.
Bacalah tulisan ini macam kau tonton perutusan Perdana Menteri Malaysia sempena Hari Raya, kau tonton dan teruskan hidup macam biasa [atau, lebih ekstrem lagi, kau biarkan tivi terpasang dan kau tolong adik beradik lain pasang langsir baru]. Dan oh ya, aku rasa tulisan ini bakal mengambil semangat Freakonomics, catatan ditulis macam treasure hunt, melompat-lompat ke sana ke mari.
OK, kau
still punya masa untuk pergi ke laman Friendster yang kau suka.
Lama sebelum kamu semua buka mulut [dan entri-entri, dan komen-komen anonymous ptuih! kamu], lama sebelum majlis berakhir, malah lama sebelum majlis bermula, banyak sangat kejanggalan yang aku dapat rasakan [dan kalau kamu izinkan, aku mahu tulis, sudah banyak juga carutan yang aku luahkan untuk segala kejanggalan itu]. Cumanya, segala kejanggalan ini tidaklah tiba-tiba muncul macam Koko Krunch yang puff! menjelma bila coklat dicurah ke ladang gandum.
Menyentuh tentang persembahan, di sebalik tabirnya, dua raptai [atau rehearsal] telah diadakan. Dan dalam kedua-dua raptai, semua persembahan yang aku sendiri [bukan kamu saja] rasa tidak sesuai itu, tidak turut serta. Jadinya, kami tidak dapat menapisnya. Semua persembahan yang turut serta dalam raptai cukup sesuai dan melepasi kawalan kualiti kami.
Tapi, dikir barat memang, ehem ehem, mantap beb! [kerna itu aku tidak puas hati, dinner itu ditutup dengan satu lagi persembahan yang tiba-tiba saja wujud].
Terlalu banyak yang berlaku sebalik tabir. Bermula dari pengunduran MISSA yang aku sebagai seorang orang [bukan bukan bukan sebagai penganjur] dan kawan-kawan yang kita suka kesalkan [kerna sebab-sebab tertentu, eksekutif MISSA, kalau kau baca ini, sila hubungi aku atau kawan-kawan yang kita suka untuk ketahui apa sebabnya], hal-hal tentang tiket, hal-hal tentang kewangan, hal-hal tentang penajaan dan macam-macam lagi.
Cukup rasanya untuk aku menulis tentang persembahan sahaja sebagai contoh mudah. Bukan apa, terlalu banyak perkara belakang tabir yang kalau nak diceritakan seolah aku menjaga hati orang ini dan mengunyah hati orang itu. Mengunyah hati orang ini dan menjaga hati orang itu. Menjaga hati orang itu, menjaga hati orang ini tapi mengunyah hati sendiri. Macam aisberg, terlalu banyak yang di bawah air. Yang tidak kelihatan. Yang kalau mahu menterbalikkannya sudahlah susah, tak berguna pula.
Begin with the end in mind. Setiap perkara yang dibuat ada matlamatnya. Aku punya matlamat aku sendiri untuk terlibat dalam tim penganjuran majlis ini [iaitu bagi mereka yang mengerti dan tahu, itulah matlamat mengapa aku melibatkan diri dengan MASCA SA dan UMNO SA].
Just say yang matlamat aku ada yang tercapai dan ada yang langsung tidak menunjukkan progres malah makin ke belakang pula. Mungkin aku perlu tukar strategi dan harap-harapnya, kawan-kawan semua dapat tolong. Ok?
Esok-esok kita berkawan-kawan. Hari ini kita bersilap-silap paham. Tak apa.
Jemput bersantai dengan dikir barat. Di
sini dan
sini.
|